suria

Agensi Kementerian Pertanian Tidak Perlu Ikut Prosedur Biasa Bantu Mangsa Banjir

ALOR SETAR: Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu mengurangkan segala kerenah birokrasi ketika memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata mangsa-mangsa banjir seperti petani, nelayan dan pihak yang terbabit dengan industri asas tani perlu diberikan bantuan segera untuk memulakan kembali kehidupan selepas banjir.

"Seperti pemberian pinjaman semula oleh Tekun Nasional, mangsa banjir tidak perlu mengisi borang. Pinjaman semula Tekun ini supaya mereka menjalankan semula perniagaan mereka yang terjejas atau rugi akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pinjaman semula kepada Usahawan Tekun yang terjejas dengan banjir di Kedah, di sini, Ahad.

Noh turut meminta Tekun Nasional supaya memikirkan cara untuk menggalakkan peminjam-peminjamnya membuat pembayaran semula pinjaman mengikut jadual yang sepatutnya.

"Tekun mungkin boleh beri reward (ganjaran) yang kepada peminjam yang membuat bayaran balik dengan baik. Saya cadangkan bagi penerima pinjaman semula ini, kalau rekod bayaran mereka baik, kita boleh write-off (lupuskan) hutang yang dulu, hanya bayar hutang yang baru.

"Bagi yang menghabiskan bayaran pinjaman lebih cepat atau pada masanya, mereka pula mungkin boleh diberikan rebat. Kalau beri insentif ini, saya harap peminjam akan berlumba-lumba nak bayar pinjaman. Yang penting mereka kena jadi pembayar pinjaman yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata kementerian sedang dalam proses menstruktur semula subsidi yang diberikan kepada mereka terlibat dalam pertanian dan industri asas tani.

"Dalam hal ini kita mahukan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan termasuk persatuan-persatuan berkenaan subsidi. Kita akan bawa ke kabinet. Kita kini dalam proses akhir.

"Kementerian perlu mengumumkan cara yang berkesan dalam pemberian subsidi. Sebagai contoh, subsidi diesel, kita kena fikirkan untuk mengelakkan ketirisan. Semua persatuan boleh beri pandangan masing-masing," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain