suria

Warga Iran Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pesara warga Iran selepas mendapati dia bersalah atas tuduhan mengedar methamphetamine, pertengahan tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtrudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, selepas berpuas hati bahawa pembelaannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Pihak pembelaan yang diwakili oleh peguam Gooi Soon Seng mengemukakan dua saksi pembelaan.

Beliau turut mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Rozanna Abd Hadi.

Pada penghakimannya, Mohtarudin berkata, beliau menolak pembelaan tertuduh bahawa bagasi yang mengandungi dadah tersebut sebenarnya kepunyaan rakan yang bernama Mushtaba.

Berdasarkan keterangan saksi, Mohtarudin berkata adalah konsisten bahawa tertuduh telah mengeluarkan anak kunci bagasi terbabit, selain pakaian yang terdapat di dalamnya juga sepadan dengan tertuduh.

“Ini menunjukkan tertuduh mempunyai pengetahuan tentang dadah berkenaan dan mempunyai niat untuk melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Rouhollah didakwa atas tuduhan mengedar 1,001 gram dadah itu pada pukul 3.50 pagi, 14 Jun 2009 di Kaunter Pemeriksaan Kastam ‘D’, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain