suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

[V] Siling pusat beli-belah tiba-tiba runtuh, serpihan ‘hinggap’ atas kepala pengunjung

Keadaan kawasan kejadian selepas siling runtuh serta tangkap layar menunjukkan seorang wanita yang dipercayai mangsa dipeluk individu lain sejurus selepas insiden berkenaan.

INSIDEN siling runtuh di pusat beli-belah Mayang Mall, Terengganu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas serpihan strukturnya didakwa terkena kepala seorang pengunjung.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada Jumaat itu dikongsikan seorang pengguna Threads, apikperodua.

Bagaimanapun dia memuat naik rakaman video [Tonton Video] serta gambar menunjukkan keadaan mangsa di lokasi terbabit pada petang Ahad.

"Siling Mayang Mall jatuh kena kepala member (rakan)," tulisnya.

Keadaan siling dipercayai runtuh dalam kejadian pada Jumaat, menyebabkan serpihan struktur berkenaan bertaburan di lantai pusat beli-belah itu.

Perkongsian tersebut turut disertai gambar memperlihatkan keadaan sebahagian siling pusat beli-belah berkenaan yang sudah rosak dan berlubang, manakala serpihan bahan binaannya bertaburan di atas lantai.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik, seorang wanita yang dipercayai mangsa kejadian kelihatan berada dalam keadaan lemah sambil dipeluk dan ditenangkan oleh seorang individu yang turut memegang bahagian kepalanya.

Selain itu, pemilik akaun berkenaan turut berkongsi foto wanita terbabit yang dipercayai sedang menerima rawatan di hospital selepas insiden tersebut.

Bagaimanapun, lokasi hospital tempat mangsa mendapatkan rawatan masih belum dapat dipastikan.

 

Tangkap layar perkongsian pengguna Threads yang memuat naik gambar mangsa dipercayai sedang menerima rawatan di hospital susulan insiden terbabit.

Dalam pada itu, seorang individu yang mendakwa sebagai sepupu kepada mangsa turut tampil memberikan reaksi menerusi ruangan komen.

"Sepupu saya tu. Hari ini (Ahad) saya pergi lagi tapi tak ada apa pun yang berubah. Acara dekat bawah pun berjalan macam biasa.

"Bayangkan kalau siling itu jatuh atas budak-budak yang sedang bermain dekat bawah?" katanya.

Perkongsian berkenaan mengundang perhatian orang ramai yang turut mempersoalkan aspek keselamatan pengunjung di pusat beli-belah terbabit.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Mayang Mall berhubung insiden tersebut.

Artikel Lain