suria

Dua Hospital Tabung Haji Capai Piawaian Arab Saudi

MEKAH: Dua hospital Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Arab Saudi, membolehkannya beroperasi 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia pada musim haji 1431 Hijrah ini.

Pakar Perunding Kanan Respiratori Prof Bersekutu Datuk Dr Abdul Razak Muttalif berkata dua hospital TH masing-masing di Aziziah dan Syisya terletak kira-kira dua kilometer antara satu sama lain dilengkapi kemudahan asas yang mencukupi.

Katanya hospital TH Aziziah dikhususkan bagi merawat penyakit tidak berjangkit dan dilengkapi 80 katil manakala di Syisya bagi merawat penyakit berjangkit sahaja dengan 100 katil.

Kebetulan semasa pasukan media TH yang membuat liputan musim haji ini melawat hospital TH Aziziah pada Ahad, sepasukan enam pegawai Kementerian Kesihatan Arab Saudi tiba dan memeriksa bagi memastikan hospital itu memenuhi piawaian yang ditetapkan.Pasukan yang sama kemudian memeriksa hospital TH Syisya.

"Di kedua-dua hospital ini, kami memberi rawatan peringkat pertama (merawat dan memberi ubat). Tiada pembedahan dibuat. Kes-kes kritikal dan perlu pembedahan dirujuk ke Hospital Raja Fadh, Raja Abdul Aziz atau Hospital An Nur di Mekah.

"Sekiranya hospital-hospital ini penuh, pesakit dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi lain di Jeddah atau Taif," kata Dr Abdul Razak yang juga Ketua Jabatan Respiratori Hospital Pulau Pinang kepada pasukan media TH selepas meninjau hospital tersebut.

Beliau berkata lima doktor termasuk seorang pakar ditugaskan di hospital TH Aziziah menyediakan rawatan psikiatri, bius, sakit puan, ortopedik, terapi, umum dan dilengkapi sebuah mesin x-ray termasuk ultra-sound, makmal dan stor ubat.

Selain itu kedua-dua hospital tersebut dan semua klinik TH di Mekah dan Madinah menggunakan sistem Pilgrim Health Information System (PHIS) yang dihubungkan secara terus menggunakan aplikasi jalur lebar 4G Wimax, katanya.

Dr Abdul Razak berkata setiap musim haji terdapat jemaah menghadapi gangguan jiwa semasa di tanah suci akibat tekanan dan pelbagai faktor lain terutama persekitaran sekeliling.

"Kita merawat mereka di hospital ini (Aziziah). Berdasarkan pengalaman tahun lepas seramai 80 orang yang dirawat, alhamdulillah mereka sembuh dan dapat menyempurnakan haji," katanya.

Beliau menasihatkan jemaah tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan sehingga selepas wukuf 15 Nov ini. Cuaca terlampau panas dan kering sekarang memudahkan mereka dijangkiti penyakit.

Pengarah hospital TH Aziziah, Dr Zamsari Kamarudain berkata Kementerian Kesihatan Arab Saudi hanya mengeluarkan sijil layak beroperasi selepas membuat penilaian dan berpuas hati setiap hospital yang beroperasi pada musim haji memenuhi piawaian mereka.

Mereka turut melawat dan memeriksa klinik-klinik yang disediakan TH di semua bangunan yang menempatkan jemaah haji Malaysia, katanya.

Dr Zamsari berkata antara faktor diambil kira ialah peralatan, kebersihan dapur, keselamatan dan petugas disuntik dengan pelalian pencegahan penyakit. - BERNAMA

Artikel Lain