suria

Pelajar Kedoktoran Di Bandung Dikebumi Di Hulu Klang

KUALA LUMPUR: Pelajar perubatan tajaan Mara, Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, yang meninggal awal pagi semalam di rumah sewanya, di Bandung, Indonesia selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Hulu Klang di sini selepas solat Jumaat. Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 9 pagi, terus dibawa ke Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan. Abang Allahyarham, Izzuddin Zainal Abidin, 24, ketika ditemui di majlis pengkebumian berkata adiknya disahkan meninggal dunia secara mengejut oleh pihak hospital di Bandung.

"Tidak ada sebarang unsur penganiayaan atau sebagainya, adik saya disahkan meninggal dunia secara mengejut pada pukul 5 pagi oleh pihak hospital," katanya.

Bapa Allahyarham, Zainal Abidin Ismail, 50, berkata beliau mengetahui mengenai kematian anaknya itu melalui panggilan telefon oleh isterinya Maznah Abdullah, 46, ketika di Papua New Guinea.

Zainal Abidin adalah ketua bahagian IT sebuah syarikat telekomunikasi di sana.

"Lebih kurang pukul lapan malam isteri saya menelefon saya...selepas dapat panggilan saya terus balik ke Malaysia," katanya.

Menurut Zainal Abidin anaknya bercita-cita tinggi dan memang impiannya menjadi seorang doktor.

"Dari segi pelajaran memang tiada masalah, dia seorang yang rajin...lebih suka duduk rumah.

"Semasa cuti semester baru-baru ini, cuma sekali dia keluar rumah dengan kawan-kawan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain