suria

Batu Sapi: Karenah Pembangkang Untungkan BN

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu sedar bahawa pertelagahan yang wujud di kalangan parti pembangkang merupakan sikap sebenar pakatan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesepakatan yang cuba ditunjukkan pembangkang hanya bersifat kepura-puraan demi kepentingan politik.

Jelasnya perbalahan yang timbul terutamanya kegagalan mencari kata sepakat mengenai calon untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini memberi isyarat yang cukup jelas.

"Apa yang berlaku dalam pembangkang jelas memberi syarat dan iktibar kepada pengundi bahawa walau siapapun bertanding di situ mereka akan kata mereka sepakat namun sebenarnya tidak," katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan yang berlaku antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) berhubung penentuan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Perbalahan itu timbul apabila PKR mengumumkan akan meletakkan calon mereka walaupun SAPP yang merupakan parti pembangkang di Sabah sudah mengesahkan akan bertanding.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN tidak mempunyai masalah dalam isu penentuan calon kerana mengamalkan konsep permuafakan antara parti komponennya.

"Biar mereka bertelagah, bagi kita BN tak ada masalah kerana kita sudahpun ada konsep muafakat, kerusi itu akan diwakili PBS (Parti Bersatu Sabah) walaupun di situ Umno mempunyai ahli terbanyak.

"Kita setuju untuk sokong calon PBS. yang penting kita mesti bekerja keras untuk pastikan kemenangan," katanya.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober.

Pada pilihan raya umum lalu, Chong yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Bebas, Dr Chung Ong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk hampir 16,000 pengundi Bumiputera dan lebih 9,700 pengundi Cina. Penamaan calon ialah pada 26 Oktober ini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain