suria

115 Ekor Bayan Dirampas Di Serdang Raya

SHAH ALAM: Sejumlah 115 ekor burung yang kebanyakannya dari spesis bayan tempatan dirampas dari seorang pemilik di sebuah rumah di Serdang Raya malam tadi.

Antara yang dirampas ialah 64 ekor bayan kecil, 33 bayan puting, tujuh bayan nuri dan dua merbah telinga merah.

Pengarah Jabatan Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata seorang lelaki berusia 40 yang memiliki mergastua tersebut tanpa kebenaran telah ditahan dan dibebaskan kemudiannya dengan jaminan polis sehingga 3 November ini.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM3,000 bagi setiap spesis yang dipeliharanya atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didapati memiliki beberapa spesis mergastua yang berasal dari luar negara yang antaranya tiga anak burung San Conure (Aratinga solstitialis) dan seekor anak burung African Gray Parrot (Psittacus erithacus).

Untuk kesalahan ini, lelaki terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 12 (aa) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 bagi setiap haiwan tersebut atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, kata Rahmat.

"Harga kesemua burung ini ialah RM12,000 dan harga anak African Gray Parrot boleh mencecah RM2,000 kerana ia adalah spesis yang mudah dilatih untuk meniru percakapan manusia," katanya.

Beliau berkata Perhilitan masih menyiasat sama ada kesemua mergastua tersebut adalah untuk dipelihara atau dijual berdasarkan jumlahnya yang banyak. - BERNAMA

Artikel Lain