suria

Wanita Didakwa Jalan Rumah Urut Tanpa Lesen

KLANG: Seorang wanita warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tuduhan menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen yang sah.

Diana Arinto, 39, memberikan pengakuan yang sama terhadap satu lagi pertuduhan, iaitu memberikan pekerjaan kepada rakan senegara tanpa permit yang sah.

Pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Majistret Afifah Mamat@Yusof.

Tertuduh didakwa menjalankan perniagaan itu tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Taman Desa Maju, di sini pada pukul 6.45 petang, 9 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK 2007 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1951/63 Pindaan 2002 kerana memberikan pekerjaan kepada Nuraini, 37, untuk bekerja sebagai tukang urut tanpa permit yang sah di tempat dan pada masa yang sama.

Peguam Gerard Lazarus yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan RM9,000 yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azila Mat.

Afifah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober ini.

Di mahkamah sama, Nuraini diarahkan membayar denda RM1,000 selepas mengaku bersalah melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut di premis milik Diana.

Artikel Lain