415 Kura-Kura Dihantar Balik Ke Madagascar

KUALA LUMPUR: Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara telah menghantar pulang 415 kura-kura yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Julai tahun ini ke negara asalnya Madagascar, dua hari lepas.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan berkenaan berkata penghantaran pulang haiwan itu dibuat berikutan perbincangan selama tiga bulan antara pihaknya dan Pengarah Perhutanan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Madagascar dan Pihak Berkuasa Pengurusan Konvensyen mengenai Pemerdagangan Spesies Terancam Antarabangsa (CITES) Madagascar.

Katanya kos penghantaran pulang sebanyak RM14,000 ditanggung oleh Madagascar sebagai negara pengeksport seperti yang termaktub dalam peraturan CITES.

"Bagaimanapun, kos itu dibiayai oleh Pusat bagi Kajian dan Pemuliharaan Penyu dan Hidupan Liar (SOPTOM), Durell Wildlife, sebuah badan amal antarabangsa yang berusaha untuk menyelamatkan spesies haiwan liar daripada kepupusan dan Dana Antarabangsa bagi Kebajikan Haiwan (IFAW)," katanya.

Kura-kura berkenaan dirampas oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia apabila mereka menahan dua wanita yang menyembunyikannya di dalam dua beg. Pada 20 Julai lepas, laman web Wildlife Trade Monitoring Network (Traffic) melaporkan bahawa dua wanita terbabit masing-masing dihukum setahun penjara mengikut Seksyen 10 (a) Akta Pemerdagangan Antarabangsa Spesies Terancam 2008.

Mereka adalah orang pertama yang didakwa mengikut Akta itu yang mula berkuatkuasa pada 28 Jun tahun ini dan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 bagi setiap haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengimport atau mengeksport sebarang spesies berjadual tanpa permit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain