suria

Dua Remaja Antara Lima Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh Pelajar Di Teluk Intan

IPOH: Polis setakat ini menahan lima lelaki termasuk dua remaja bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan rogol seorang pelajar berumur 16 tahun di Teluk Intan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifki Abdullah berkata dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan malam tadi, manakala tiga yang lain berusia 20-an telah ditahan pada Ahad lepas.

"Setakat ini, kita masih menyiasat kes itu bagi mencari bukti kukuh untuk mengesan dalang yang melakukan jenayah tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini Khamis.

Beliau berkata tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan manakala dua remaja itu masih disoal siasat sebelum tindakan lanjut diambil.

Dalam kejadian 17 Oktober lalu, seorang remaja Divya Barathi Murali ditemui mati dalam keadaan bogel di kawasan Ladang Rubana, Teluk Intan.

Mayat gadis itu ditemui orang ramai pada pukul 7.30 pagi, sehari selepas keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangannya apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu sekolah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain