suria

Kerajaan Pusat Peruntuk RM300 Juta Bina Rumah Kos Rendah Di Gua Musang

GUA MUSANG: Kerajaan akan melaksanakan projek perumahan rakyat yang menelan belanja RM300 juta di kawasan tapak berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang untuk dimiliki penduduk berpendapatan rendah.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata projek pertama membabitkan 1,500 unit yang sudah lama dirancangkan itu akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 24 Oktober ini.

Beliau berkata pembinaan projek itu akan dilaksana sebaik dilancarkan supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada penduduk berpendapatan rendah.

Katanya, rumah tersebut akan dijual dengan harga antara RM33,000 hingga RM35,000 dengan bayaran RM190 sebulan selama 26 tahun.

"Saya yakin rumah itu mampu dimiliki semua penduduk yang selama ini tidak mempunyai rumah kediaman sendiri dan menumpang di rumah ibu bapa walaupun sudah berkeluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Kampung Baru di sini, Jumaat.

Tengku Razaleigh berkata peluang itu hendaklah direbut mereka yang berpendapatan rendah.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, beliau tidak suka bercakap bohong mengenai perkara itu dan ia tetap ditunaikan sebagaimana yang dijanjikan.

"Saya berpendirian begitu kerana mahu melihat rakyat di Gua Musang berubah bukan sahaja menikmati sebarang kemajuan hasil projek pembangunan kerajaan tetapi memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

"Kita akan pastikan pembinaannya berjalan sebaik pelancaran itu nanti kerana apa yang lebih penting pembelaan ke atas penduduk yang memerlukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain