suria

Empat Pemilik Syarikat Didakwa Anjur Pelaburan Wang Kutu "Program Ekspres"

KUALA LUMPUR: Empat pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini menjadi ejen dan bersubahat menganjurkan pelaburan wang kutu yang dikenali sebagai "Program Ekspres".

Rosnani Rahim, 32; Salina Ahmad, 45; Ma'mor Kamaruddin, 45; dan Rimahyon Sanuri, 39; bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Rosnani, pemilik Syarikat Kristal Karisma Enterprise, didakwa melakukan kesalahan itu di premisnya yang beralamat di No 5-3, Jalan 15/48A, The Boulevard Shop Office, Off Jalan Sentul di sini, antara 19 November 2008 dan 29 April lepas. Salina, Ma'mor dan Rimahyon yang merupakan pemilik Syarikat Al Falah Global Resources, didakwa bersubahat menganjurkan program pelaburan itu bersama pemilik Syarikat World Heritage Resources iaitu Rahimah Rahim, 39, dan Sabbri Yusof, 49.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Keluli AM7/AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, Klang, antara 4 November 2009 dan 29 April lepas. Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan 11 November depan untuk menyebut semula kes saman itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Steve Chin Yun Cheong manakala kesemua orang kena saman diwakili peguam Mohd Yunos Shariff. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain