suria

BAJET 2011: Penjawat Awam Wanita Berpeluang Cuti Bersalin Bergaji Penuh 90 Hari

KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita di negara ini akan diberi fleksibiliti kemudahan mengambil cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari, berbanding 60 hari pada masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kemudahan, yang bertujuan menambah baik kemudahan cuti bersalin penjawat awam wanita, bagaimanapun tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan Cuti Bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

"Sememangnya pun, kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutamanya anak yang baru dilahirkan," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, termasuk untuk memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai tahun depan.

Beliau berkata kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam, di mana pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) mencapai tahap 30.5 peratus.

"Justeru saya ingin menyeru pihak swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita mememang jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif," katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, Najib berkata kerajaan, yang telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Okt lalu mahu pihak swasta mengambil pekerja separuh masa wanita, terutamanya mereka yang telah berumah tangga.

Najib berkata kerajaan akan melaksanakan program perintis "Small Office Home Office" (bekerja dari rumah) untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi mereka dalam pelbagai bidang kemahiran.

Bagi membantu golongan wanita tidak berkemampuan dalam mendapatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal berkualiti anak-anak mereka, kerajaan akan menyediakan dan menjenamakan semula 40 buah Taska 1Malaysia, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat, katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan dalam membantu golongan kurang bernasib baik. Beliau berkata RM166 juta diperuntukkan untuk program bantuan kebajikan warga emas, yang dijangka meningkat melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara menjelang 2030, dan RM121 juta bagi program bantuan kanak-kanak dalam usaha membolehkan 97,000 kanak-kanak menerima perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal berkualiti.

Kerajaan turut memperuntukkan RM218 juta sebagai bantuan untuk dimanfaatkan oleh 80,000 Orang Kelainan Upaya (OKU), selain melaksanakan pengecualian duti eksais sebanyak 100 peratus ke atas kenderaan nasional yang dibeli oleh OKU dan membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tunawisma (tiada tempat tinggal) dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling, katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk meneruskan pemberian rebat bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Program yang diperkenalkan sejak 2008 itu memanfaatkan lebih satu juta pengguna di seluruh negara, katanya.

Pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada untuk perbelanjaan perubatan ibu bapa diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian mereka yang lain seperti lampin pakai buang, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain