suria

Empat Anggota PGA Maut Nahas Jalan Raya Di Sandakan

SANDAKAN: Empat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala tiga lagi parah apabila trak yang mereka naiki bertembung dengan lori treler di Batu 19 Jalan Labuk di sini awal pagi Isnin.

Mereka yang maut ialah pemandu trak L/Kpl Sapieh Jalhani, 32, penumpang hadapan Sjn Hashamdi Abdullah, 52, serta dua anggota yang duduk di bahagian belakang trak iaitu L/Kpl Agustine Lee, 31, dan L/Kpl Sylvester Assin, 36.

Tiga yang cedera parah ialah L/Kpl Francis Joseph, 37, L/Kpl Dixon Mamat, 28, dan L/Kpl Asri Sabani, 39.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata tiga anggota PGA itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada pukul 4.31 pagi dan ketika kejadian trak terbabit dalam perjalanan menuju ke arah Sandakan manakala lori itu datang dari arah bertentangan.

Lima anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan pemandu dan penumpang hadapan trak itu yang tersepit di tempat duduk mereka, katanya.

Beliau berkata kesemua mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain