suria

'Nyanyu' Bukan 'Nyanyuk' - Zaid

PETALING JAYA: Kontroversi isu 'Syed Husin nyanyuk' semakin panas apabila Datuk Zaid Ibrahim mendakwa saingannya bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sengaja memutar belit fakta.

Menurut Zaid, Naib Presiden PKR itu mengambil pendekatan sedemikian bagi meraih sokongan penyokong Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali yang mengumumkan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu November ini.

"Azmin dengan muka sedih cuba putar isu ini untuk menarik (sokongan) penyokong Syed Husin.

"Saya tidak pernah gunakan perkataan 'nyanyuk' kepada Syed Husin... saya kata mungkin dia sudah lupa atau 'nyanyu'.

"Nyanyuk digunakan kepada orang yang sudah tua di mana pemikiran dan tindakannya macam budak, nyanyu pula bererti orang yang bercakap melulu dan tanpa asas... cakap sembarangan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online di sini, Khamis.

Sebelum ini, menerusi portal berita Free Malaysia Today, Zaid dilaporkan berkata, Syed Husin sudah 'nyanyuk' kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak betul yang mempertikaikan peranan Zaid sebagai penyelaras Pakatan Rakyat (PR).

Berikutan itu, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menerusi portal berita Malaysiakini tampil membidas Zaid dan meminta beliau menarik balik kenyataannya itu terhadap Syed Husin.

Malah Mohamed Azmin turut mengingatkan supaya Zaid tidak sombong dan angkuh dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap pemimpin berpengalaman seperti Syed Husin.

Mengulas lanjut Zaid berkata, sebaliknya Mohamed Azmin yang lebih bersifat angkuh dan sombong.

"Saya tidak angkuh dan sombong seperti Azmin," kata Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan itu.

Selain itu jelas Zaid, beliau tidak berhasrat untuk menyinggung perasaan Syed Husin yang sudah lama berjuang dalam PKR.

"Saya tidak berhasrat menyinggung hati Syed Husin, kalau dia tersinggung saya minta maaf," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain