suria

Warga Iran Ditahan Di KLIA, Dadah Ditemui Dalam Sandal

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya, kedua-duanya warga Iran, yang cuba menyeludup dadah jenis syabu ke dalam negara dengan menyembunyikannya di bahagian tapak sandal yang dipakai, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata lelaki berusia 29 tahun itu dan pasangannya, 25, yang tiba dari Doha, ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Narkotik KLIA pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata pihak berkuasa gagal menemui apa-apa yang mencurigakan dalam pemeriksaan awal, namun kemudiannya sandal yang dipakai lelaki itu kelihatan agak pelik apabila satu kesan cantuman semula dikesan di bahagian tapak sandal yang dipakainya.

"Selepas diperiksa polis menemui 975 gram dadah bernilai RM250,000 itu yang disorokkan di bahagian kedua-dua tapak kasut yang dipakai lelaki berkenaan," katanya dalam satu persidangan media di sini, Jumaat.

Menurutnya polis percaya lelaki itu membuka lapisan tapak sandalnya untuk menyembunyikan dadah sebelum digam semula dan dipakainya, sebagai taktik baru untuk membawa masuk dadah ke dalam negara tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Beliau berkata berdasarkan rekod, lelaki itu pernah dua kali masuk ke Malaysia manakala teman wanitanya pula tiga kali, masing-masing menggunakan pas lawatan sosial.

Katanya pasangan itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Nordin berkata Selasa lepas seorang ibu tunggal warganegara Thailand ditahan bersama dua bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 3.4 kilogram bernilai RM850,000 juga di KLIA.

Beliau berkata dadah itu ditemui disorok di bahagian bawah bagasi yang dibawa oleh wanita berusia 38 tahun itu.

"Soal siasat mendapati wanita yang menaiki penerbangan dari Afrika Selatan itu menjadikan Malaysia sebagai transit, untuk membawa dadah ke Kemboja," katanya.

Suspek yang mempunyai seorang anak dan bekerja sebagai pelayan kelab malam di Thailand, direman di bawah Seksyen 39B akta yang sama bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain