suria

Latihan Bersama ATM, TNI Perlu Diteruskan

MELAKA: Latihan bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indoensia (TNI) perlu diteruskan walaupun ada pendapat dari negara jiran itu supaya eksesais itu dikaji semula.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata latihan ketenteraan itu sudah berjalan sekian lama dan tidak harus dihentikan hanya kerana perkara terpencil yang berlaku baru-baru ini.

"Saya minta panglima tentera dari kedua-dua pihak tidak mengambil pendekatan emosional berhubung eksesais ini...ibarat kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman mertuanya di Kampung Empang Batu, Masjid Tanah, di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media Indonesia yang memetik seorang Panglima Kanan TNI yang meminta latihan itu dikaji semula.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia tegang berikutan satu kejadian di sempadan maritim di Kepulauan Riau pada 13 Ogos lepas apabila polis marin Malaysia menahan tiga penguatkuasa perikanan Malaysia, manakala pihak berkuasa republik itu pula menahan tujuh nelayan Indonesia.

Katanya, Eksesais Malindo Darsasa 7AB/2010 yang menggabungkan pasukan khusus daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan komando ATM dan TNI di Melaka pada April lepas telah membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Mengikut giliran, latihan yang sama dijadualkan diadakan di Indonesia pada 2014 yang menggabungkan taktik dan senjata peperangan mutakhir kedua-dua pihak," katanya.

Eksesais lain antara kedua-dua negara juga melibatkan tentera darat yang dikenali sebagai KEKAR MALINDO, tentera laut (MALINDO JAYA) dan tentera udara (ELANG MALINDO).

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ratusan orang ramai telah mengunjungi rumah terbuka Ahmad Zahid, yang juga naib presiden UMNO itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain