suria

Lapan 'Ulat Tiket' Feri Warga Indonesia Ditahan

PELABUHAN KLANG: Lapan warga Indonesia yang menjadi peraih atau ulat tiket feri di Pelabuhan Selatan di sini ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Selangor.

Pegawai Perhubungan Awam I Imigresen Malaysia Abdul Haidir Mohd Sukor dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi yang dijalankan pagi semalam itu menahan kesemua lelaki terbabit yang berusia antara 30 dan 45 tahun.

"Kesemua mereka ditahan ketika menjalankan aktiviti sebagai 'ulat tiket' feri di jeti berhampiran Pelabuhan Selatan di sini," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kesemua mereka mempunyai Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.

Mohd Shukor berkata kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar pas, permit atau pas sempadan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan di Depoh Tahanan KLIA, Sepang untuk siasatan lanjut.

Operasi itu membabitkan 17 anggota yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johari Supardi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain