suria

Pengarang Kanan Malay Mail Mengaku Tak Bersalah

PETALING JAYA: Pengarang Eksekutif Hiburan & Gaya Hidup Malay Mail, Irwan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Hasan Skodeng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, atas tuduhan membuat komen palsu bertajuk ‘TNB to sue WWF over earth hour’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Irwan, 36, yang juga seorang blogger bebas didakwa menerbitkan komen tersebut di blognya http://nose4news.wordpress.com antara pukul 6 dan 7 petang, 25 Mac lalu, di pejabat Malay Mail di nombor B-3A-01,02 & 03, Dataran 3 Dua, Jalan 19/1, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Badius Zaman Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin yang mana dibantah oleh peguam Irwan, Jahaberdeen Mohamed Yunus.

“Irwan telah menyerah diri kepada polis apabila mengetahui polis sedang mencarinya. Jika tidak, sudah pasti pihak polis akan mengalami kesukaran untuk mengesannya dalam kes sebegini,” tambah Jahaberdeen.

Beliau juga memaklumkan bahawa Irwan menangung dua anak. Difahamkan laman blog tersebut telah diwujudkan sejak setahun setengah yang lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan Irwan dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 November depan bagi memberi masa kepada pihak pembelaan yang berhasrat mengemukakan representasi.

Pengarang Kumpulan Red Berry Media Group, Datuk Ahirudin Atan atau dikenali sebagai Rocky’s Bru dalam dunia blog menjelaskan jaminan tersebut.

Irwan kelihatan tenang sepanjang prosiding dan ditemani isterinya.

Mahkamah juga dipenuhi dengan rakan sekerja Irwan, seperti Ketua Pegawai Operasi Endie Shazlie Akbar, Pemangku Pengarang Yushaimi Yahya, Pengarang Eksekutif Akhbar dan Online Muzli Mohd Zin dan Pengarang Berita Najmuddin Najib.

Turut hadir sebagai tanda sokongan moral ialah blogger-blogger terkenal seperti Nuraina A.Samad (Nuraina A.Saman 3540 Jalan Sudin), Syed Azidi Syed Aziz (Kickdefella), Shamsul Yunos (My Anger, It May Be Yours Too), Zakhir Mohamad (BigDog) dan Zainol Abideen (Mahaguru58).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain