suria

Wanita Warga Emas Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

TAIPING: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan serta kakinya terikat, di rumahnya di Kampung Padang Gajah, Pantai Remis, di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata mayat Esah Rejab, 64, ditemui di dalam bilik oleh jiran warga emas itu pada kira-kira pukul pukul 4.30 petang.

Beliau berkata polis percaya wanita itu disamun sebelum dibunuh pada malam sebelumnya, dan jiran wanita itu mula mencarinya selepas dia tidak keluar rumah pada sebelah paginya.

Menurutnya mayat Esah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat, dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Esah tinggal bersendirian di rumah itu selepas suaminya seorang bekas anggota tentera meninggal dunia tahun lepas, dan anak-anaknya duduk diluar daerah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping dengan menelefon 05-8291222 bagi membantu sisatan," kata Yusof kepada pemberita di sini hari iini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain