suria

Hospital Terengganu Cipta Sejarah Dua Bayi Tabung Uji

KUALA TERENGGANU: Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini mencipta sejarah bila dua bayi, seorang lelaki dan seorang perempuan, dilahirkan buat pertama kalinya menerusi program persenyawaan dalam tabung ujinya (IVF).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar yang melawat kedua-dua ibu bayi itu, berkata ini adalah bayi tabung uji yang pertama dilahirkan di HSNZ sejak projek itu dimulakan pada November tahun lepas.

Katanya, selain dua ibu yang sudah berjaya melahirkan anak itu, ada 10 lagi ibu yang sedang mengandung anak 'tabung uji' yang akan dilahirkan berperingkat-peringkat pada tahun ini dan tahun hadapan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM1 juta bagi penubuhan unit IVF dengan membeli pelbagai peralatan dan ubah suai dewan bedah dan sebagainya di HSNZ.

Katanya, hospital itu mempunyai tiga orang doktor pakar yang mengendali program IVF dengan diketuai pakar perunding Dr Mohd Zulkifli Mohd Kassim.

Kaedah persenyawaan dalam tabung uji ialah dengan menyatukan benih ibu dan benih bapa dan kemudian dimasukkan semula ke dalam rahim ibu.

Sebelum ini bayi tabung uji dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Alor Star, Kedah.

Seorang daripada ibu bayi berkenaan, Mastika Abdul Aziz, 31, jururawat di HSNZ, ketika ditemui berkata, beliau bersama suaminya Mohammad Fadli Ngah, 31, menunggu selama empat tahun dan menggunakan pelbagai cara, tetapi tidak berjaya untuk mendapatkan zuriat.

"Saya juga telah melalui program permanian beradas sebanyak tiga kali, tetapi semuanya gagal. Setelah hospital ini ada program IVF dan kemudian disyorkan oleh doktor pakar, terus saya mencubanya dan ianya mendatangkan kejayaan" katanya dengan penuh gembira. Mastika yang melahirkan anak lelaki seberat 2.92 kg dengan cara pembedahan pada kira-kira 9.7 minit pagi amat seronok kerana ia kebetulan lahir pada hari Kemerdekaan negara ke-53.

Seorang lagi ibu, Salina Mohamad, 44, guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah berkata, kelahiran ini merupakan harta yang paling bernilai buat diri dan suaminya.

Beliau yang mempunyai seorang anak lelaki berumur enam tahun yang dilahirkan secara biasa berkata, selepas mendapat anak pertama, suaminya Fazuri Ishak, 38, seorang anggota tentera laut, bertugas di Perancis kerana mengikuti projek kapal selam di sana.

"Disebabkan jarak yang jauh kami jarang bertemu dan setelah suami kembali akhir tahun lepas, jadi masa itu saya guna peluang untuk mendapatkan seorang lagi anak dengan menggunakan program IVF di hospital ini," katanya yang melahirkan bayi seberat 2.81 kg pada 11.25 pagi 31 Ogos. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain