suria

Dadah:Dua Penganggur Terselamat Daripada Tali Gantung

ALOR SETAR: Dua penganggur terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, Ahad meminda pertuduhan mengedar kepada pemilikan, selepas mendapati pendakwa gagal membuktikan keraguan yang munasabah bahawa mereka mengedar dadah berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak berkata, pendakwa bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa ada kes di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Mohd Sofian menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh untuk memanggil kedua-dua tertuduh, Samsun Majdi Awang, 47, dan Mohd Zulkifli Abdullah, 32, membela diri.

Sebelum ini, mereka dituduh mengedar 4,616.3 gram dadah jenis kanabis pada 28 Mei 2004 pada pukul 11.15 malam di Lorong Haji Hussien, Pantai Johor dekat sini.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rahamatullah Baharudeen, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zakhi Daud. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain