NIEZAM nak ucapkan tahniah kepada pengacara Jimmy Shanley. Pertama kerana dia sudah bertunang dan akan berkahwin dengan anak pengasas produk kecantikan Natasya iaitu Nursuhaila Eliani.
Mereka akan bernikah pada 1 Oktober ini pada satu majlis besar-besaran. Keduanya Niezam nak ucapkan tahniah kerana Jimmy bakal menjadi usahawan berjaya selepas kahwin.
Masa majlis makan malam anjuran Astro Entertainment Sdn. Bhd. Khamis lalu, Niezam duduk berborak semeja degan Jimmy.
Agak terkejut mendengar berita dari Jimmy. Kata Jimmy dia akan buat majlis resepsi sebelah pihak lelaki ala-ala seperti dalam taman di tempat percutian bersejarah, Kelly Castle di Batu Gajah, Perak.
Niezam terkejut bila Jimmy mahu ambil alih pengurusan Kelly Castle.
Kata Jimmy, dia mahu bangunkan pusat bersejarah itu sebagai sebuah resort terkemuka. Sekarang dia sedang berusaha untuk menyiapkan kertas kerja selain menyediakan dokumen untuk proses tersebut dengan pihak-pihak yang berkenaan.
Kalau semuanya berjalan lancar, lepas kahwin nanti Kelly Castle yang dibina oleh peladang getah British pada tahun 1910 itu akan turut menjadi simbol cinta Jimmy dan bakal isterinya.
Manakan tidak, selepas majlis resepsi, mereka bangunkan istana lama itu sebagai sebuah mahligai indah untuk dikunjungi pelancong.
Selain menjadi pengacara, Jimmy sekarang bekerja sebagai Pengarah Jualan menguruskan Natasya Resort di Cameron Highlands, Pahang. Kepada Jimmy, tahniah. Adakah istana lama itu sama seperti lambang keutuhan cinta kisah Taj Mahal?
Niezam: Ada artis sudah nikah tapi masih nak sorok.
SUDAH-SUDAHLAH BERPERANG
Industri perfileman di negara kita sekarang ini menjadi kucar kacir dan bertambah “busuk.” Pertelagahan di sana sini semakin kuat berlaku. Isu Ketua Pengarah Finas dengan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) masih belum dapat diselesaikan lagi.
Niezam bertemu dengan ramai artis dan pelakon. Dia orang pun naik bingung dan semakin meluat melihat kemelut yang berlaku di kalangan orang-orang filem yang masih tak ada penghujungnya.
Kes Ahmad Idham dan David Teo yang mendapat bantahan ramai selepas dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas pun tak dapat nak diselesaikan secara berhemah.
Kalau benda kecil yang macam kacang ni pun tak boleh nak selesai, macam mana dengan benda-benda besar atau pun yang melibatkan dana berjuta-juta ringgit?
Sejak isu di Finas meletus, pihak kementerian mengambil masa yang lama untuk membuka mulut. Akhirnya jawapan yang sesetengah puak benci keluar daripada mulut Pengerusi Finas, Datuk Mohammed M.Daud iaitu tak ada sebab Ahmad Idham dan David Teo perlu disingkirkan dari Finas.
Datuk Mohammed mempersoalkan PFM kenapa membawa kemelut tersebut kepada media. Dalam erti kata lain jangan kecoh-kecoh. Apa yang Niezam tahu orang di PFM dah hantar surat kepada pihak kementerian tapi pihak di sana buat-buat tak layan.
Akhirnya dia orang terpaksa cari media nak dapatkan bantuan. Dalam hal ini Niezam tak sebelah mana-mana pihak sebabnya kami orang-orang media ni tak dapat untung satu sen pun siapa yang menerajui Finas ataupun siapa yang duduk dalam kerusi Finas.
Cuma nasihat kepada orang-orang filem, tak payah nak gaduh-gaduh. Karya kita bukannya bagus mana pun. Di Malaysia, nak buat 50 filem setahun pun belum tentu boleh tapi kecohnya macam ayam bertelur sebiji, riuh sekampung.
Kalau nak berlaku adil, biarlah kerusi dalam Finas tu diberi kepada orang yang tak ada kepentingan apa-apa pun. Habis cerita. Lepas tu kita tengok apa jadi. Sebab produser kita pun bukan semuanya bersatu. Yang nak jaga sarang sendiri lebih ramai daripada yang nak berjuang.
Dalam masa yang sama ada juga yang duduk melobi untuk dapat tempat dalam Finas kerana mahu rebut kuasa. Itulah masalahnya produser-produser kita
Niezam: Tak cari masalah.
ISU SUAMI ISTERI BERGADUH PULA
Minggu lalu seorang ahli politik berjaya menggeletek ketiak Niezam. Niezam tergelak terbahak-bahak.
Ahli politik berkenaan menegur stesen televisyen di negara ini yang banyak menyiarkan drama-drama pergaduhan suami isteri.
Drama-drama itu akan memberi gambaran buruk kepada orang asing kononnya suami isteri di negara ini suka bergaduh, kata ahli politik itu.
Niezam pun gelak sekali lagi. Kalaulah ada pelancong asing atau sesiapa saja yang menonton adegan berkenaan lalu menganggap rakyat sesebuah negara itu suka bergaduh, memang penonton perlu disekolahkan lagi sekali.
Niezam hairan, sejak kebelakangan ini apa saja yang dibuat oleh orang filem kita selalu dapat perhatian orang politik.
Isu-isu yang lebih penting seperti keruntuhan sistem kekeluargaan dalam negara yang tak dapat ditangani sepatutnya diberi perhatian serius daripada menyalahkan genre drama sebagai punca.
Sebelum ini timbul juga isu filem Remp-it yang terpaksa ditukar nama kerana takut nanti ramai anak-anak muda yang merempit. Ehh... sebelum ada filem rempit anak-anak muda kita sudah lama masuk lumba haram.
Kalau nak ikutkan drama-drama Tamil pun banyak memaparkan kisah suami isteri bergaduh tetapi orang tak tuduh hanya orang India sahaja yang suka berkelahi laki bini. Jika terlalu banyak pantang larang yang dikeluarkan, macam mana industri hiburan kita hendak berjaya?
Industri hiburan seharusnya konsisten tanpa ada campur tangan politik. Orang politik bekerja untuk kepentingan politik semata-mata dan hanya tahu bercakap.
Tengok dulu Awie dan Amy Search di larang keluar TV kerana rambut panjang. Tapi arahan itu tak konsisten dan akhirnya mereka yang berambut panjang boleh pula muncul di TV hari ini. Macam mana tu?
Niezam: Tak pernah bergaduh walaupun selalu tengok filem gaduh.


