suria

Dua Didakwa Rasuah Pegawai KPDNKK Disebabkan Gas

SHAH ALAM: Seorang pengurus kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menawar dan memberikan rasuah kepada seorang Penolong Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tahun lalu.

Pengakuan Eu Wee Siang, 27, yang berasal dari Telok Panglima Garang, dekat sini direkodkan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa menawarkan rasuah RM10,000 kepada Nazrul Hisham Hamudi yang berkhidmat di Putrajaya, dekat sini pada pukul 1.05 petang, 30 Disember 2009 di premis Wee Siang Trading, Batu 11, Jalan Klang Banting, Telok Panglima Garang.

Dia juga menghadapi satu lagi tuduhan iaitu memberi rasuah RM9,950 kepada Nasrul Hisham pada pukul 1.25 petang, hari dan tempat yang sama.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya Nasrul Hisham tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menjalankan perniagaan gas tanpa lesen dan memindahkan gas LPG pengguna kepada tong gas industri yang merupakan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961.

Bagi tuduhan menawar, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala pertuduhan memberi dibuat mengikut Seksyen 17(b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RN10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Azhaniz Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RN5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah berlainan, seorang lelaki turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan RM500 sebagai dorongan mengelakkan tindakan diambil terhadapnya kerana menjalankan perniagaan gas tanpa lesen dan memindahkan gas secara haram.

Tan Heng Kiat, 31, didakwa membei suapan itu kepada Penolong Pengawal Bekalan KPDNKK, Muhammad Fithry Hassan pada pukul 5.30 petang, 24 Disember 2009 di premis tidak bernombor, Jalan Udang, Banting, dekat sini.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 26 Ogos ini sebelum dibicarakan selama dua hari bermula 17 Januari 2011.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ng Siew Wee.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain