suria

Pembinaan Loji Air Untuk Proses Air Mentah Dari Pahang Tidak Boleh Dilengahkan

KUALA SELANGOR: Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk memproses air mentah yang bakal disalurkan dari Pahang untuk kegunaan penduduk di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak boleh dilengah-lengahkan.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Tan Sri Rozali Ismail berkata pada masa ini bekalan air di Selangor masih tidak stabil dan boleh berkurangan sekiranya berlaku pencemaran sungai atau ketiadaan hujan yang berterusan.

Katanya SYABAS telah memberikan cadangan penambahbaikan bekalan air di Selangor bagi mengelakkan krisis air daripada berlaku dan kerajaan negeri tidak boleh menunggu sehingga tahun 2014 untuk bertindak.

"Kita berharap pihak kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk menyelesaikan isu air ini seberapa segera yang mungkin," katanya pada majlis pelancaran Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua di Ladang Hopeful di Bestari Jaya dekat sini hari ini.

Pembinaan loji air yang baru itu di Selangor dijangka mampu membekalkan 900 juta liter air dan mengelakkan penduduk Lembah Klang daripada dilanda krisis bekalan air, katanya.

Sebelum ini Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyuarakan kebimbangannya bahawa kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di Selangor akan mengakibatkan defisit bekalan air sebanyak 13 ke 14 peratus menjelang 2014 di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Beliau berkata jangkaan ini dibuat berdasarkan kadar penggunaan air semasa di ketiga-tiga kawasan di Lembah Klang itu dan jika penggunaan air meningkat menjelang 2014 keadaan kekurangan bekalan air mungkin bertambah teruk.

Pembinaan loji air Langat 2 perlu disegerakan bagi mengelakkan catuan bekalan air dikenakan di Lembah Klang menjelang 2014, katanya.

Laporan sebelum ini berkata keputusan pembinaan loji baru ini belum dibuat kerana kerajaan Persekutuan dan Selangor masih lagi dalam perundingan untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Sementara itu, Rozali berkata sempena Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua yang berakhir 3 Ogos ini, SYABAS memberi peluang kepada yang belum mendaftar untuk mendapatkan bekalan air bersih secara sah berbuat demikian bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Pendaftaran boleh dibuat di 10 pejabat wilayah Syabas di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beliau berkata sepanjang kempen itu, denda bagi mereka yang membuat penyambungan haram akan diberi pengurangan jika mendaftar.

"Setelah kempen ini berakhir pada 3 Ogos, pihak SYABAS akan menjalankan operasi mengesan dan menjejaki pencuri-pencuri air dan juga meter-meter haram secara besar-besaran," katanya.

Rozali berkata setakat ini sebanyak 200 kes berkaitan salah laku penggunaan dan cara memiliki air bersih telah dihadapkan ke mahkamah. - BERNAMA

Artikel Lain