suria

Umno Terbuka Adakan Rundingan Perpaduan Dengan PAS Tanpa Pra Syarat

KOTA KINABALU: Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan Pas yang menjurus kepada perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa pra syarat.

"Kita sentiasa terbuka (untuk berbincang dengan Pas mengenai perpaduan) tetapi jangan ada pra syarat dan terus menghina Umno dalam ucapan-ucapan mereka.

"Kalau nak berbincang janganlah kutuk antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama pemimpin-pemimpin masyarakat Cina Sabah di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada Sabtu bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua pihak.

"Ya pendirian kita tidak berubah tapi nampaknya Pas ada pertimbangan lain dan dia nak kaitkan dengan soal isu royalti minyak dan sebagainya yang kita telah pun jelaskan.

Ini bukan soal royalti minyak...ini soal wang ehsan sebab itu kuasa di bawah kerajaan persekutuan mengikut Perlembagaan kita. Jadi terserahlah kepada Pas untuk menentukan pendiriannya tetapi kita tidak mahu ulang-ulang perkara ini, apa yang penting kita mahu tengok sikap Pas," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain