suria

Dua Pekerja Kilang Terbunuh Dalam Kemalangan Dekat Bukit Gantang

IPOH: Dua pekerja kilang terbunuh selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan lori dan bas di Kilometer 70, Jalan Kuala Kangsar-Buterworth berhampiran Bukit Gantang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian tengah hari itu ialah pemandunya Junaidi Mohd Sapiee, 26, dan rakannya Norizan Din, 29, yang kedua-duanya berasal dari Kuala Kangsar.

Kedua-dua mereka cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Taiping.

Yusof berkata, ketika kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu Junaidi sedang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Bukit Gantang, telah berhenti di belakang sebuah lori di simpang tiga lampu isyarat di situ.

Pada masa yang sama sebuah bas dari arah belakang tiba-tiba merempuh kereta mangsa yang menyebabkan kereta mangsa merempuh pula lori di hadapannya.

Kereta tersebut remuk menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalamnya sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Yusof berkata, tiga dari 10 penumpang bas berkenaan hanya cedera ringan.

Pemandu bas terbabit kemudiannya ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain