suria

Tragedi Lubuk Yu Tidak Jejas Pelancongan Pahang

KUANTAN: Kes kematian enam lelaki akibat terkena kuman leptospirosis' (air kencing tikus) dan meliodosis di kawasan rekreasi Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran baru-baru ini tidak menjejaskan sektor pelancongan di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata ini kerana kes berkenaan adalah kes terpencil dan bersifat sementara.

"Kejadian itu bersifat terpencil dan tidak menyebabkan sektor pelanocngan di negeri ini terjejas kerana tempat itu hanya dikunjungi oleh penduduk tempatan terutamanya penduduk di sekitar kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kerjaya Dalam Keusahawanan 2010 di sini malam tadi.

Baru-baru ini, seramai enam lelaki meninggal dunia dalam tempoh seminggu akibat dijangkiti kuman itu selepas berkhemah semasa operasi menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu.

Mereka yang meninggal dunia ialah Azizam Abdullah, 58, Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56, ketika menyertai operasi mencari mangsa lemas, Mohd Azhar Azizam, 28, pada 26 Jun lalu.

Operasi menyelamat mangsa lemas itu disertai 83 individu termasuk anggota pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan bermula 26 Jun hingga 30 Jun lepas.

Menurut Shafik Fauzan, kejadian itu merupakan satu ingatan kepada orang ramai supaya menjaga alam sekitar dan tidak membuang sampah sesuka hati.

"Setiap pengunjung ke tempat rekreasi perlu mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain