suria

Rakyat Diseru Tolak Pemimpin Yang Bergantung Kepada Kuasa Luar

LABUAN: Rakyat Malaysia perlu menolak pemimpin yang bergantung kepada kuasa luar untuk mencapai cita-cita sebagai pemimpin negara, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi.

Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata rakyat mestilah mengambil pendirian yang tegas iaitu menolak pemimpin seperti ini.

Beliau berkata kepada pemberita apabila diminta mengulas kenyataan seorang penulis blog terkenal di New York, Elaine Meinel Supkis yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan alat ciptaan agensi perisikan Amerika Syarikat, Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit Amerika Syarikat di Malaysia.

"Dalam dia menuduh kerajaan menggunakan APCO dan sebagainya untuk menaikkan imej negara tapi dalam masa yang sama, dia secara senyap-senyap pergi ke Amerika untuk membetulkan semula kenyataannya di Parlimen, termasuk tindakannya terlibat dalam demonstrasi di Kuala Lumpur.

"Yang lebih teruk dia sanggup keluar duit untuk dapatkan ruang diwawancara CNN," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Labuan di sini hari ini.

Menyentuh mengenai kementeriannya, Puad berkata beliau akan membangkitkan cadangan Umno Labuan yang mahu Jabatan Pelajaran Labuan dikekalkan status sedia ada dan tidak diturun taraf dan digabungkan dalam Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan.

"Saya telah menerima memorandum bukan sahaja dari Jabatan Pelajaran Labuan, bahkan dari badan politik seperti Umno. Selain itu, Ahli Parlimen Labuan turut membangkitkan isu ini untuk dibahaskan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata ada beberapa perkara yang dibangkitkan iaitu antaranya kedudukan Labuan yang jauh dari pusat pentadbiran Putrajaya, dan kedua aspek Labuan perlu diberikan fokus dari segi kecemerlangan pendidikan.

"Oleh itu, jika sekiranya pentadbiran itu tidak diberikan secara khusus kepada Labuan mungkin akan menimbulkan kesan dalam usaha untuk mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain