suria

Rais Ajak Bekas Anggota Umno Kembali Semula Kepada Parti

KOTA TINGGI: Bekas anggota Umno yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) diajak kembali semula menganggotai Umno memandangkan tindak tanduk penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Rais berkata bekas anggota Umno perlu memahami tindak tanduk Anwar yang juga ketua pembangkang yang dilihat ibarat "sesumpah pokok" yang mempunyai pendirian sering berubah mengikut kepentingan diri.

Katanya beliau percaya perjuangan orang Melayu akan dapat diperkukuhkan lagi dengan kembalinya bekas anggota Umno kepada parti itu.

Ajakan ini dibuat berikutan pendedahan penulis blog di New York, Elaine Meinel Supkis bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan alat ciptaan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit negara itu di Malaysia.

"Diharapkan penulis blog berkenaan mempunyai lunas-lunas yang menyokong dakwaan tersebut, tetapi saya percaya apa yang diterbitkan itu tentulah sudah disiasat oleh penulisnya dan bukan hanya tulisan kosong," kata Rais kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pengerang di sini hari ini.

Rais yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan, Supkis melalui artikelnya "CIA And Mossad Want Anwar Ibrahim Assassinated".

Pendedahan itu kata anggota MT tersebut, menunjukkan PKR tidak mempunyai pemimpin yang boleh diharapkan apatah lagi untuk meneraju negara ini.

Beliau berkata setiap anggota Umno perlu membuang sikap sukar berubah dan mementingkan diri sendiri kerana boleh memecah belahkan parti.

Semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi itu, Rais berkata transformasi dalam parti harus dilakukan oleh setiap anggota dan bukannya pemimpin semata-mata atau pun pihak luar.

Ini adalah untuk menjamin kesinambungan perjuangan Umno bagi menjaga hak-hak orang Melayu, agama Islam, bahasa dan kebudayaan orang Melayu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain