suria

Pelajar Cemerlang Tidak Libat Kokurikulum Sukar Ke IPTA - Saifuddin

PULAU PINANG: Pelajar cemerlang mungkin berdepan masalah untuk diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini jika mereka tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin pelajar mendapat tempat di IPTA.

"Walaupun mendapat 90 peratus markah akademik tetapi aktiviti kokurikulum tidak ada langsung, pelajar mungkin menghadapi masalah untuk masuk ke universiti," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pelajar baru di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, langkah kementerian menekankan aspek kokurikulum kerana ingin melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik sebaliknya turut mempunyai nilai insaniah.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan untuk graduan memasuki alam pekerjaan kelak.

"Kalau nak kerjapun, kecemerlangan akademik itu hanya laluan awal untuk dipanggil temuduga. Tetapi ketika temuduga, aspek insaniah yang akan diambil kira," kata Saifuddin.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mula melaksanakan dasar pengambilan dan pemilihan berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke IPTA untuk pengambilan pelajar sesi 2007/2008.

Empat aspek utama diberi penekanan dalam pengiraan markah 10 peratus pencapaian kokurikulum iaitu kehadiran (50 peratus), peringkat penglibatan (20 peratus), pencapaian (20 peratus) dan jawatan disandang (10 peratus). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain