suria

Pergolakan Dalam PKR Harus Buka Mata Rakyat Selangor

JAKARTA: Pergolakan yang sedang berlaku dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor harus membuka mata rakyat negeri itu bahawa kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak diterima oleh anggota partinya sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini banyak isu yang timbul dalam parti itu.

"Di kalangan pimpinan PKR pun tak ada kesepakatan dalam soal ini hingga nampak mengganggu pentadbiran negeri dan yang menjadi masalahnya rakyat yang rugi.

"Haruslah ia menjadi iktibar kepada rakyat. Yang pasti rakyat di Selangor mahukan pembangunan, pentadbiran yang lancar, negeri yang dikatakan termaju ini akan jadi merosot kemajuannya, hanya kerana tidak ada kemampuan parti ini mentadbir sehingga menjadi beban yang merugikan rakyat," katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai tindakan PKR melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua PKR Selangor menggantikan Abdul Khalid kelmarin.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mengumumkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Naib Presiden PKR dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju MP Wilayah Persekutuan, berkuatkuasa serta merta.

"(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri (Khalid) yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuatkuasa serta-merta," kata Wan Azizah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, di Shah Alam.

Sebelum ini Mohamed Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain