suria

Najib Bertemu Peniaga, Bermain Catur Cina Di Pasar Lido

PENAMPANG: Hari ini membawa kegembiraan buat orang ramai di pasar Lido di sini, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak singgah untuk bertanyakan khabar mereka - bertepatan dengan tradisi beliau yang melakukan tinjauan mesra dan mendahulukan rakyat.

Perdana Menteri malah mencuba bakat bermain catur Cina di sebuah kedai kopi di sini, menarik perhatian orang ramai semasa beliau bermain menentang salah seorang penggemar catur tempatan.

"Saya tahu cara bermain catur biasa tetapi bukan catur Cina. Ini pengalaman pertama saya, saya belum tahu langkahnya lagi, ia agak berbeza daripada catur biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan yang popular dengan pasar terbuka itu.

Lawan beliau iaitu ahli perniagaan berusia 65 tahun, Ting Jack Kuok, turut menunjukkan beberapa langkah dalam permainan itu kepada Najib.

"Dengan sedikit latihan, Perdana Menteri boleh mencabar saya dalam permainan catur Cina. Jika tidak, saya masih champion lah," kata Ting dengan girang.

Pertemuan dengan orang ramai itu adalah antara aturcara lawatan singkat Najib ke Sabah hari ini sempena majlis perasmian Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ke-53 malam ini.

Lido yang mempunyai majoriti penduduk Cina, seringkali menjadi lokasi panas bagi ahli politik, sama ada untuk menarik sokongan pengundi ketika pilihan raya, atau sebagai tempat mengadakan sambutan perayaan.

Ini kali kedua Najib melakukan tinjauan mesra di negeri ini, kali pertama ialah tahun lepas ketika beliau melawat pasar besar di Kota Kinabalu.

Najib, yang diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan menteri-menteri Kabinet negeri, tiba kira-kira 4 petang dan berada di situ selama sejam dengan meninjau pasar terbuka, kedai dan pejabat di kawasan berhampiran, sebelum mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat.

Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) Lido, Kwok Leong Ping dan anggota jawatankuasa Pembangunan Bandar Kepayan Kam Chee Fui adalah antara pemimpin masyarakat yang berbual-bual dengan Najib.

"Kami memberitahu beliau mengenai masalah banjir di kawasan ini dan kesesakan lalu lintas selain sistem perparitan," katanya selepas mengiringi Najib melakukan tinjauan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain