suria

Pelajar Tingkatan 4 MTD Maut Dipercayai Akibat Buli, Dera

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai dibuli dan didera oleh pelajar senior maktab tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal mendapati wujud unsur jenayah dalam kes kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16.

"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis belum mengambil sebarang keterangan dan sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.

Kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) menyebut suatu kejadian yang melibatkan kematian pelajar itu berlaku antara 11.30 pagi semalam sehingga 1.20 pagi ini.

Mindef telah menubuhkan satu lembaga siasatan untuk mengenalpasti punca insiden itu.

Mohammad Naim Mustaqim didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di situ.

Mayatnya kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besi pukul 2 pagi tadi.

"Keluarga Allahyarham telah dimaklumkan akan keadaan itu dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan sebaik kejadian itu berlaku bagi mengenalpasti punca kejadian," kata kenyataan itu.

Beberapa pelajar yang dikenalpasti bersama-sama mangsa semasa kejadian telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis sedang dijalankan untuk keperluan dalaman Angkatan Tentera, bahagian penyiasatan khas dari Cawangan Provos Marsyal untuk menjalankan siasatan susulan, kata kenyataan itu.

Allahyarham akan dikebumikan di Baling, Kedah pada hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain