suria

Bekas Mufti Perlis Tak Tahu Kes Disebut Hari ini

SHAH ALAM: Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana tidak mengetahui kesnya akan disebut hari ini.

Peguam syarie Jamal Mohd Lokman Sulaiman yang mewakili Mohd. Asri berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat sama ada daripada pihak pendakwaan mahupun pihak mahkamah berkaitan perkara tersebut.

“Secara kebetulan saya berada di sini (mahkamah) kerana mempunyai kes lain,” katanya semasa kes disebut di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Justeru itu, Jamal Mohd memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baru untuk anak guamnya yang juga seorang pensyarah hadir bagi menghadapi pertuduhan terhadapnya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Pegawai Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd Hamid bagaimanapun tidak memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohd. Asri.

“Dr Asri telah pun dibebaskan dengan jaminan sebelum ini dan jaminan tersebut masih terpakai dalam kes ini,” katanya.

Mohammad Khalid kemudiannya menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan baru.

Beliau juga menasihatkan pihak-pihak yang terlibat untuk menyelesaikan sebarang isu teknikal yang mungkin timbul bagi mengelakkan kes terpaksa ditangguhkan di pertengahan jalan.

Isu teknikal ini termasuklah wakalah pelantikan peguam syarie yang mewakili Mohd. Asri memandangkan wakalah itu dibuat semasa kes disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.

Bekas mufti itu didakwa atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1 November 2009, antara pukul 8.10 dan 9.45 malam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan disebuah kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan.

Artikel Lain