suria

Semangat 1Malaysia Berbeza Dari Konsep Asimilasi - Najib

KUALA LUMPUR: Konsep 1Malaysia yang menekankan semangat perpaduan berbeza sama sekali daripada konsep asimilasi yang diamalkan negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional yang sama, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau telah kerap kali menyebut bahawa pendekatan konsep 1Malaysia sentiasa mengambil kira roh dan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga prinsip-prinsip Rukun Negara.

"1Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan," katanya menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Wee meminta Perdana Menteri menyatakan definisi polisi 1Malaysia sedangkan masyarakat terus ditafsirkan sebagai Bumiputera dan bukan Bumiputera serta bagaimana Model Baru Ekonomi (MBE) dapat menstruktur semula Malaysia ke arah menjadi masyarakat adil dan saksama.

Najib berkata tiada masalah atau konflik dengan klasifikasi Bumiputera dan bukan Bumiputera kerana klasifikasi tersebut merupakan sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang tetap disanjung tinggi.

"Yang penting ialah perpaduan di bawah konsep 1Malaysia yang didokong oleh teras-teras utama iaitu penerimaan, prinsip-prinsip kenegaraan yakni Perlembagaan dan Rukun Negara dan juga keadilan sosial yang memastikan nasib semua kaum terbela dan terjamin," katanya.

Mengenai MBE, Najib berkata segala langkah afirmatif untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan masyarakat akan dilaksanakan dengan telus dan berdasarkan kepada keperluan supaya tidak berlakunya ketirisan.

"Tiga prinsip yang jelas terhasil dalam MBE ialah pertama; berpendapatan tinggi, kedua; kemapanan dan ketiga; keterangkuman. Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya.

"Di bawah MBE juga keperluan menstruktur semula masyarakat Malaysia terus wujud dengan keadaan semasa di mana terdapat jurang perbezaan besar dari segi pendapatan antara golongan 40 peratus terendah dengan 20 peratus teratas," katanya.

Beliau berkata antara langkah afirmatif yang dilaksanakan melalui peningkatan kualiti golongan itu bagi menyumbang secara aktif dan produktif kepada ekonomi adalah dengan membina keupayaan mereka melalui program-program latihan.

Selain itu, Najib berkata golongan itu juga perlu diberi peluang meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan, peluang mendapatkan kepakaran (khidmat nasihat) dan teknologi bagi melaksanakan perniagaan serta peluang mendapat pembiayaan bagi usahawan-usahawan kecil dan sederhana.

"Dengan pembinaan keupayaan dan peningkatan kemahiran melalui program-program ini, golongan 40 peratus terendah diharapkan dapat bersaing dalam sektor ekonomi dengan lebih berkesan dan ketika itu semua rakyat tanpa mengira kaum dapat menyertai sektor ekonomi semata-mata atas dasar kompetitif," katanya.

Menjawab pula soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) yang ingin tahu antara tindakan susulan yang boleh dilakukan untuk memastikan masyarakat faham tentang dasar 1Malaysia dan MBE, Najib berkata ia bergantung kepada dua kaedah.

"Pertama ialah kesefahaman apa yang dimaksudkan dengan Gagasan 1Malaysia dan apa yang dimaksudkan MBE, ia perlu diterangkan kepada akar umbi.

"Kedua ialah kredibiliti kita dari segi pelaksanaan, kita wujudkan mekanisme khas seperti RMK10 (Rancangan Malaysia Ke-10) supaya pelaksanaannya nanti berjalan dengan lancar," kata perdana menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain