suria

252 Nelayan Asing Ditahan Dalam Tempoh Enam Bulan Ini

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur telah menahan 252 orang nelayan Vietnam dan Thailand kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Maritim Datuk Ismail Hamzah berkata daripada jumlah itu seramai 209 orang dipenjarakan manakala selebihnya diusir balik ke negara mereka kerana bawah umur.

"Nelayan Vietnam merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai 172 orang sementara Thailand 37 orang," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas ketua penguatkuasa daerah Maritim 9 Kuala Terengganu Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan dan Pengarah Operasi Wilayah Timur Kapten (M) Adam Aziz.

Syed Mohd Fuzi yang dinaikkan pangkat kepada Kapten akan menggantikan tempat Adam sebagai Pengarah Operasi Wilayah Timur, berpangkalan di Kuantan dan Adam akan mengambil tempat Syed Mohd Fuzi sebagai Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu.

Ismail berkata pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara sekarang tidak begitu membimbangkan dan pihaknya mempunyai aset-aset mencukupi untuk menanganinya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata memandangkan ramai pelancong yang datang ke pantai timur sepanjang cuti persekolahan ini, pihaknya terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap bot-bot yang membawa pelancong ke pulau-pulau bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang.

Bagi bulan ini sahaja, pihaknya telah memeriksa 64 bot dan 16 daripadanya telah dikenakan denda kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata pihaknya juga mengadakan operasi terhadap bot-bot nelayan tempatan yang menggunakan awak-awak warga asing tanpa permit.

Katanya sejak agensi itu beroperasi di pantai timur pada 2006 hingga tahun ini, sebanyak 457 buah bot nelayan asing dan juga bot nelayan tempatan telah ditahan kerana pelbagai kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain