suria

Abdul Hadi Dakwa PAS Tidak Gadai Prinsip Kerjsama Dengan Bukan Islam

KOTA BARU: Hubungan politik PAS dengan orang bukan Islam merupakan kerjasama 'tahaluf siasi' yang diizinkan oleh syarak.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya mendakwa, kerjasama yang diamalkan oleh Umno bersama rakan mereka dalam Barisan Nasional (BN) telah menggadai prinsip Islam yang sebenar.

"Dalam PAS kita ada DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS), ia berdasarkan konsep Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

"Apa yang kita buat tidak sama dengan kerjasama Umno dan rakan-rakanya... jangan keliru.

"Kerjasama Umno dengan orang dengan bukan Islam adalah kerjasama yang menggadai prinsip dan akhlak serta tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada orang-orang bukan Islam," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-56 Di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

Selain itu Abdul Hadi berkata, penyertaan bukan Islam dalam PAS selaras dengan ajaran al-Quran.

"Apa yang kita buat dan kita hayati pada hari ini berdasarkan kepada al-Quran.

"Islam membenarkan penglibatan bukan Islam dalam politik, amalan politik dalam Islam berbeza dengan amalan sembahyang... kalau sembahyang jemaah, imamnya Islam, makmumnya juga Islam," katanya.

Beliau berkata, parti itu sentiasa berlaku adil dalam dasar mereka termasuk dalam politik.

"Al-Quran suruh kita berlaku adil, adil dalam pemerintahan negara... inilah yang tidak difahami oleh orang yang berkepala (pandangan) sekular.

"Dalam amalan politik, pemerintah yang memimpinnya Islam, petugas-petugasya boleh diambil di kalangan bukan Islam," katanya.

Sementara itu pada sidang media selepas berakhirnya muktamar hari ini, Abdul Hadi memberitahu, PAS akan mengadakan perbincangan secara mendalam dengan rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat berhubung keputusan untuk meletakkan calon bukan Islam mewakili mereka dengan menggunakan logo parti itu.

"Kita ada perbincangan untuk meletakkan calon berdasarkan kepada pembahagian kerus, dengan persefahaman yang dibuat antara rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Tapi sekarang ini pilihan raya pun belum ada lagi...belum diumumkan, jadi belum ada keperluan untuk bincang secara serius, soal pembahagian kerusi pun belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain