suria

UUM Universiti Pengurusan Terkemuka, Azam Naib Canselor Baru

DR MOHAMED MUSTAFA ISHAK
DR MOHAMED MUSTAFA ISHAK
DR MOHAMED MUSTAFA ISHAK

PETALING JAYA: Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) selama tiga tahun mulai esok berazam untuk menjadikan pusat pengajian itu sebagai universiti pengurusan yang terkemuka di dunia.

Selama 25 tahun berkhidmat di UUM bermula dengan jawatan tutor dan kemudiannya memegang beberapa jawatan pentadbiran, Mohamed Mustafa optimis universiti itu mampu mencapai tahap tertinggi.

"Saya akan cuba bawa UUM ke peringkat lebih tinggi. Memang saya tidak berkuasa untuk bawa UUM 'lari' daripada sebuah universiti berteraskan pengurusan, tapi saya bermatlamat menjadikan UUM sebuah universiti pengurusan terkemuka," katanya kepada mStar Online di sini.

Dari kaca mata 'orang lama' UUM yang melalui sendiri sejarah dan perkembangan universiti yang dibuka pada tahun 1984 itu, beliau melihat universiti itu berjaya terutama dari aspek melahirkan graduan berkualiti untuk keperluan bidang pengurusan.

Tidak menafikan berasa terharu di atas kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Mohamed Mustafa berazam untuk memperkasakan lagi jentera penggerak UUM dengan cara memantapkan lagi kredibiliti sumber manusia yang ada sekarang.

Beliau percaya setiap matlamat dalam sesebuah organisasi hanya dapat dicapai dengan adanya pengurusan sumber manusia yang baik dan cekap.

Bagi mencapai objektif itu, beliau akan mengambil langkah segera dan berusaha untuk menambahkan lagi bilangan pensyarah berkelulusan doktor falsafah (Ph.D) di universiti tersebut.

"Sekarang pensyarah yang ada Ph.D di sini cuma 16 peratus. Saya akan cuba meningkatkan bilangan ini sehingga mencapai 60 peratus seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Bila sudah ada tenaga akademik dan pengurusan yang cekap secara tak langsung akan membolehkan UUM membina reputasinya sendiri.

"Dalam masa yang sama, kita akan berusaha untuk memantapkan setiap satu program, bermula dengan program ijazah pertama sehinggalah pasca sarjana," katanya.

Menurut beliau sehingga kini UUM mempunyai sebanyak 68 program pasca ijazah dan 37 program ijazah yang mana setiap pelajarnya adalah yang terbaik.

Bakal menggalas tanggungjawab ini dalam tempoh tiga tahun akan datang, Mohamed Mustafa juga berhasrat untuk 'mengantarabangsakan UUM' dengan mewujudkan kolaborasi di antara universiti luar serta membawa masuk lebih ramai kakitangan dan tenaga pengajar dari luar negara.

"Walaupun terletak di Sintok, Kedah, bukan di kawasan bandar, UUM boleh berbangga dengan jumlah pelajar antarabangsanya yang sehingga kini mencecah angka 3,000 dan mereka ini datang dari 42 buah negara di seluruh dunia.

"Tapi kalau dilihat dari segi segi jumlah staff, saya rasa bilangannya perlu ditingkatkan lagi. Setakat ini kita cuma ada satu peratus tenaga kerja dari negara luar dan saya akan cuba tingkatkan jumlah ini menjadi 10 peratus," katanya.

Tidak hanya memberi fokus terhadap kualiti kerja dan pencapaian akademik pelajar, beliau juga berasa bertanggungjawab memastikan setiap graduan universiti ini mendapat manfaat sepenuhnya selepas mereka tamat pengajian dengan menjalin hubungan yang lebih erat dengan industri.

Suasana kerja dan tempat belajar yang lebih menarik juga akan cuba diwujudkan untuk keselesaan pelajar di samping memperbanyakkan aktiviti akademik untuk kesemua warga universiti.

Naib Canselor UUM yang baru tersebut turut berminat untuk memperkenalkan program baru terhadap universiti yang terkenal dengan skop pengurusan ini.

"Memang ada perancangan untuk buka program baru, tapi buat masa ini ia tidak boleh disebut lagi. Yang pasti, kita akan mantapkan program-program lama yang ada sekarang," katanya.

Mengulas tentang pendekatan yang akan digunapakai dalam memastikan perancangan dapat dijalankan sesempurna mungkin sehingga mencapai matlamatnya, beliau jelas sekali menggunakan pendekatan yang ringkas tetapi mampu meninggalkan impak positif.

"Saya dengar semua pandangan tak kira daripada pihak bawahan dan atasan, amalkan komunikasi terbuka dan ambil yang terbaik.

"Saya sedia berhubung dengan staf dan pelajar serta mendengar apa jua masalah dan pandangan mereka. Saya panggil pendekatan ini sebagai 'kekerakanan'," katanya.

Ditanya sejauh mana penerimaan warga UUM terhadap pelantikan beliau menggantikan Tan Sri Dr Nordin Kardi, beliau yakin akan mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada staf serta para pelajar untuk terus menerajui pusat pengajian itu.

"Saya harap seluruh warga UUM dapat bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha meningkatkan reputasi universiti ini menjadi sebuah pusat pengajian terunggul dan terkemuka.

"Dengan pengalaman yang saya ada dan jawatan yang pernah saya pegang di universiti ini, saya yakin dapat membantu universiti ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan membanggakan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain