suria

10 Orang Srikandi ATM Teruskan Misi Di Lubnan

KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berkhidmat selama empat bulan setengah di Lubnan di bawah Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) bagi menggantikan kumpulan pertama 10 anggota wanita yang menyertai misi sebelum ini.

Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Jamil Osman berkata kumpulan kedua wanita itu, yang akan berlepas ke Lubnan malam ini, telah menjalani latihan integrasi pasukan (FIT) selama tiga bulan di 1 KAD, Kem Batu 10, Kuantan.

Berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Wanita Kedua Malcon East 5 itu di Kementerian Pertahanan di sini hari ini, beliau berkata kumpulan itu akan melaksanakan tugas di Sektor Timur Kawasan tanggungjawab UNIFIL, selatan Lubnan di bawah Resolusi 1701 PBB.

"Matlamat utama penghantaran para anggota tentera wanita ini untuk mengembalikan keamanan yang berterusan di bumi Lubnan selaras dengan misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Sementara itu ketua kumpulan terbabit, yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Leftenan Siti Norhajar Megat Ahmad Roslan berkata kumpulan kedua ini terdiri daripada seorang pegawai dan sembilan orang anggota wanita lain-lain pangkat (LLP).

“Mereka ini dipilih dari tiga cabang ATM, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat bagi menggalas tanggungjawab yang telah diberikan kali ini,” kata Siti Norhajar.

“Sebagai pegawai kepada anggota-anggota yang lain, saya bertanggungjawab memastikan kebajikan dan kesihatan mental dan fizikal anggota saya terjaga sepanjang tempoh kami berada di sana," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain