suria

Polis Tahan Dua Perompak, Empat Jam Selepas Rompak Peniaga

KUALA TERENGGANU: Polis menahan dua lelaki warganegara Indonesia, kira-kira empat jam, selepas mereka bersama dua lagi suspek yang masih bebas merompak seorang peniaga di Kampung Tajing, Kuala Berang, Hulu Terengganu awal hari ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan K Manoharan berkata, hasil tindakan pantas polis memaklumkan kejadian samun di rumah peniaga itu kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, polis Pahang telah menahan dua daripada suspek itu yang melarikan diri dengan kereta milik mangsa di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Lembing, Kuantan pada kira-kira pukul 7 pagi.

Seorang daripada suspek itu dapat meloloskan diri ke dalam ladang kelapa sawit manakala seorang lagi melarikan diri dengan kereta itu. Bagaimanapun, kenderaan itu ditemui kira-kira tiga kilometer daripada tempat mereka ditahan dan menemui semula beberapa barangan yang dilarikan suspek.

Katanya, dalam kejadian itu seorang peniaga yang sedang tidur di rumahnya dikejutkan oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan pisau sebelum mengikat mangsa, isteri dan anak lelakinya berumur 17 tahun sambil mengugut supaya tidak membuat bising.

"Kumpulan penyamun berkenaan kemudian melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, dua buah telefon bimbit, komputer riba, kamera, wang tunai RM1,300 dan kereta Perodua Kembara kepunyaan mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata, bagaimanapun, peniaga berumur 52 tahun itu dapat melepaskan diri tidak lama kemudian dan membuat laporan di Balai Polis Hulu Terengganu.

Katanya, kumpulan perompak berumur antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai datang daripada Pahang dan menyamun di rumah mangsa sebelum balik ke Pahang.

Beliau berkata, gerakan memburu dua lagi suspek itu sedang dijalankan dengan kerjasama polis Pahang dan pasukan Rela.

Dalam kes lain, polis Terengganu percaya dapat menyelesaikan kes ragut di kawasan bandar ini dengan tertangkapnya seorang pembantu kedai berumur 26 tahun yang berasal dari Marang.

"Hasil siasatan polis menemui beberapa beg tangan wanita, kad pengenalan dan kad kredit dipercayai milik mangsa ragut. Polis kini memburu seorang lagi rakan suspek berumur 23 tahun yang berasal dari Kampung Nibong Panji Alam, di sini untuk membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain