suria

Polis Johor Tumpas Sindiket Proses, Edar Dadah

JOHOR BARU: Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah selepas menahan 15 individu dalam tujuh serbuan berasingan yang dilakukan selama dua hari berturut-turut bermula Khamis lepas, di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua suspek termasuk dua wanita warga Myanmar itu ditahan di hentian Rehat dan Rawat Pagoh, Taman Austin Perdana, Seri Alam, Taman Megah Ria, Masai serta Taman Molek.

"Kesemua rampasan dalam ketujuh-tujuh serbuan itu dianggarkan sebanyak RM4 juta termasuk dadah dan barangan lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ialah 5,052 gram ketamin, 454 gram syabu, 17,451 pil ekstasi, 9,025 gram serbuk ekstasi, 17,260 pil Eramin 5 dan 4,260 gram kafein.

Antara barangan yang disita termasuk lapan kereta pelbagai keluaran, RM162,773 wang tunai, dua komputer, lima utas jam tangan, empat telefon bimbit dan sejumlah barangan kemas. Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak setahun lepas dan membekalkan dadah ke Thailand, Singapura, Batam di Indonesia selain sekitar Johor Baharu dan Lembah Klang.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua anggota sindiket itu mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis meth," katanya.

Beliau berkata, enam suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan judi.

Katanya, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 16 dan 51 tahun itu kini direman sehingga Jumaat depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain