suria

Reaksi Berbeza Mengenai Pengenalan Semula Lesen Peruncitan

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak memberi reaksi berbeza mengenai pengenalan semula lesen peruncitan barang kawalan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKP) 1 Jun lepas selepas dihentikan 19 tahun lalu.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Paduka Nadzim Johan berkata beliau menyokong pengenalan semula lesen itu kerana ia dapat menjamin pengagihan barang keperluan secara adil.

"Eloklah perkara ini (lesen runcit) dibuat untuk pastikan pengagihan barang keperluan seperti gula secara adil kepada semua peniaga. Sebelum ini barang keperluan seperti gula dihantar kepada pemborong tapi kita tak tahu ke mana pergi. Dengan adanya lesen ini, kita dapat tahu ke mana ia dihantar," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya pengenalan lesen itu mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan turut disertai oleh penguatkuasaan yang berterusan.

Lesen berkenaan yang sah selama dua tahun boleh didapati bermula 1 Jun lepas secara percuma di pejabat KPDNKP di seluruh negara dan penguatkuasaan lesen itu akan bermula 1 Julai ini.

Kesatuan Pekerja Pengangkutan Malaysia (TWU) turut menyokong pengenalan semula lesen itu, yang menurutnya bagi membantu peniaga itu sendiri seterusnya melicinkan jentera pentadbiran kerajaan.

Setiausaha Agungnya Datuk Zainal Rampak berkata sokongannya berdasarkan tiga pertimbangan iaitu memberikan kesenangan kepada peniaga, harga barang keperluan mudah dikawal dan menjamin bekalan mencukupi.

Bagaimanapun, Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Hamdan Adnan berpendapat pengenalan lesen peruncitan itu perlu dikaji semula memandangkan terdapat rungutan di kalangan peniaga.

"Rungutan daripada peniaga-peniaga perlu dikaji semula supaya pengguna dan peniaga mendapat faedah. Saya bimbang pengguna menjadi mangsa. Hamdan berkata kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengenakan denda yang tinggi bagi melindungi pengguna. - BERNAMA

Artikel Lain