suria

Kapal Rachel Corrie Teruskan Misi Ke Gaza - Mahatir

TANJUNG KARANG: Penaung Perdana Global Peace Organization (PGPO), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kapal Rachel Corrie yang membawa misi bantuan tajaan PGPO terpaksa mengambil risiko meneruskan pelayaran ke Semenanjung Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh warga Palestin.

Biarpun komando Israel menyerang kapal Mavi Marmara sebelum ini, Rachel Corrie akan tetap meneruskan pelayaran dan kini ia berada hanya 36 jam daripada destinasi, kata bekas Perdana Menteri itu.

"Saya suruh teruskan ke Gaza tetapi sekarang kita dapati Yahudi, kalau dia ambil tindakan pun, orang tak buat apa kat dia. Saya takut itulah, dia (tentera Israel) akan cuba tahan. Kita terpaksa ambil risiko. Saya harap dia tak ambil tindakan ganas, bunuh orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program 'Bicara Bersama Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad' sempena program 'Jom Gegar Tanjung Karang', di Padang Astaka, di sini hari ini.

Ditanya nasihatnya kepada misi bantuan PGPO diketuai Matthias Chang, Dr Mahathir berkata beliau meminta mereka bekerjasama dengan pihak lain yang juga terbabit dalam menyempurnakan misi kemanusiaan itu termasuk flotila awal yang ditahan Yahudi sebelum dilepaskan kemudian.

Selain Chang, dua lagi wakil PGPO, Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu, menaiki kapal kargo yang membawa bantuan perubatan untuk penduduk Gaza.

Turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wartawan dan jurugambar TV3, iaitu Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin. -BERNAMA

Artikel Lain