suria

Tiga Lelaki Bersenjata Rompak RM160,000 Daripada Van Keselamatan

PULAU PINANG: Tiga lelaki bersenjata merompak sebuah van milik sebuah syarikat keselamatan, Syarikat Property Protection Sdn Bhd dan melarikan wang tunai RM160,000 di Paya Terubong, di sini kira-kira 12.30 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, dalam insiden itu, van keselamatan berkenaan baru sahaja mengutip kira-kira RM180,000 yang dimasukkan ke dalam dua buah kotak daripada pelanggan syarikat berkenaan apabila kenderaan itu ditahan oleh sebuah kereta di Jalan Paya Terubong.

"Dua lelaki yang bersenjatakan revolver serta pistol kemudian menyerbu van terbabit dan melarikan satu daripada kotak itu yang mengandungi RM160,000," katanya kepada pemberita di balai polis Farlim Bandar Baru di sini.

Beliau berkata, van itu sedang dalam perjalanan ke arah Air Itam apabila ditahan oleh perompak terbabit dan selain wang, salah seorang daripada perompak itu turut melarikan sepucuk pistol milik syarikat keselamatan itu.

"Insiden itu hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum kesemua tiga perompak bertopeng itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah Proton Wira berwarna coklat yang menghala ke arah Relau.

Siasatan awal polis mendapati bahawa kereta itu menggunakan nombor pendaftaran yang didaftarkan bagi sebuah motosikal.

Polis percaya kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Wan Abdullah berkata, polis melancarkan gerakan besar-besaran bagi memburu suspek.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rompakan itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain