suria

Polis Tumpaskan Sindiket Curi Motosikal Diketuai Pelajar Sekolah

MELAKA: Polis di sini menumpaskan satu sindiket mencuri motosikal dengan menahan 12 lelaki berusia 16 hingga 54 tahun termasuk empat pelajar sekolah dalam satu operasi pada 2 hingga 6 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Melaka ACP Mohamad Adnan Abdullah berkata sindiket itu yang dikenali sebagai 'Kumpulan Aidil' dipercayai diketuai oleh salah seorang pelajar berkenaan.

"Siasatan ke atas sindiket ini masih diteruskan termasuk sama ada kesemua yang ditahan terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri motosikal atau bertindak sebagai pembeli," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya polis berjaya menyelesaikan sembilan kes mencuri motosikal yang dilakukan oleh kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak tahun lepas terutama mencuri motosikal model Honda EX5.

Beliau berkata sebuah motosikal, dua buah rangka dan sebuah enjin telah dirampas daripada kumpulan itu yang ditemui di kawasan Bukit Rambai dan Kelebang, di sini.

"Motosikal ini ditemui di dalam longkang serta kolam di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau juga berkata statistik kecurian motosikal pada Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada 567 kes berbanding 400 kes untuk tempoh yang sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain