suria

Kes SIB Mengenai Perkataan Allah Didengar 24 Jun

KUALA LUMPUR: Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) gagal mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perintah larangan mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali menetapkan 24 Jun untuk mendengar permohonan SIB, yang juga dikenali Gereja Evangelikal Borneo, dan Presidennya Paderi Jerry W.A. Dusing mendapatkan kebenaran mencabar keputusan KDN dan kerajaan itu menerusi prosiding semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi, yang mewakili KDN dan kerajaan, memberitahu media hari ini bahawa hakim telah mengarahkan SIB menyerahkan hujahan bertulis pada 14 Mei dan memfailkan hujahan balas pada 27 Mei ini.

SIB dan Dusing diwakili oleh peguam Bobby Chew dan Lim Heng Seng.

Pada 10 Disember 2007, SIB dan Dusing memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas enam kotak bahan-bahan penerbitan yang dibawa masuk dari Surbaya, Indonesia, di Terminal Kos Tambang Murah (LCCT), Sepang, pada 15 Ogos 2007.

Bagaimanapun, bahan penerbitan itu dipulangkan kepada gereja itu pada 25 Jan, 2008.

Berikutan itu, mereka menarik beberapa tuntutan dalam permohonan kebenaran itu dan menumpukan kepada isu dasar bahawa tiada agama lain boleh mengimport buku-buku yang menggunakan perkataan Allah.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut satu perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam semua penerbitan agama dan amalan dan bukan semata-mata dalam gereja sahaja.

Pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia telah merampas lapan buku agama yang dibawa masuk oleh gereja itu dari Indonesia pada kelas Ahad kanak-kanak penganut Kristian.

KDN, yang mengawal jabatan itu, telah mendakwa bahawa buku-buku tersebut mengandungi perkataan Allah yang dilarang digunakan oleh bukan Islam dan merampasnya bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.

Dusing berkata, buku-buku berkenaan adalah bahan pengajaran rujukan yang hanya untuk kegunaan penganut Kristian dan bukan digunakan untuk memberi khutbah kepada orang Islam, seperti dibayangkan oleh KDN. - BERNAMA

Artikel Lain