suria

Johan Pilih Logo Cangkul Tagih Sokongan Pengundi Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR: Calon Bebas, Johan Mohd Diah berkata beliau akan mempertaruhkan lambang "cangkul" pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.

"Ia simbolik kepada petani dan peneroka di sini," kata Johan, 31, yang juga seorang peniaga kepada pemberita di Felda Sungai Tengi, Hulu Bernam, di sini.

Johan, AJK Pemuda Umno Shah Alam yang bakal dipecat kerana bertanding menentang Barisan Nasional (BN), mengadakan sidang media di depan rumah ibunya di Lot 338, Jalan Puteri, Desa Maju, Sungai Tengi, merangkap bilik gerakan beliau dan ditemani isteri, Syarifah Noraini Syed Abu Bakar, 36, serta beberapa penyokong.

Ditanya mengenai penyokongnya, Johan berkata mereka tidak boleh menonjolkan diri tetapi sudah mula berkempen dari rumah ke rumah selain menggunakan blog (talianjohanrakyat.blogspot.com) dan facebook untuk menarik sokongan pengundi.

Johan berkata pemilihan lambang cangkul itu bertepatan dengan pengundi sasaran beliau iaitu 20,000 pengundi muda, peneroka dan generasi kedua Felda yang merangkumi lebih 6,000 orang.

"Saya bukan eksekutif, saya bukan korporat, saya juga seperti mereka (rakyat biasa di Hulu Selangor)," katanya yakin akan mendapat sokongan pengundi yang tidak mahu menyokong calon BN atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ketua Penerangan MIC P.Kamalanathan, Datuk Zaid Ibrahim dan Johan selepas V.S.Chandran menarik diri sebagai calon Bebas hari ini.

Ditanya sekali lagi sebab beliau menawarkan diri untuk bertanding, Johan menegaskan beliau berhak bertanding sebagai anak jati kawasan itu kerana berpendapat parlimen itu perlu diwakili orang Melayu kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.

Lima puluh tiga peratus daripada 64,500 pengundi di kawasan itu adalah pengundi Melayu, pengundi Cina (26 peratus), pengundi India (19 peratus) dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Menyifatkan dirinya sebagai kancil yang berada di tengah-tengah pertembungan dua ekor gajah (BN dan PKR), Johan berkata beliau tidak berceramah tetapi yakin akan muncul sebagai pemenang.- BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain