suria

Latihan Bersama ATM, TNI Penting: Zahid

MELAKA: Latihan bersama atau eksesais antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) penting dalam menjalin kerjasama erat kedua-dua negara bahkan negara-negara ASEAN serta serantau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman kedua-dua negara dalam latihan bersama memainkan peranan utama dalam keadaan realiti.

"Kerjasama akan terus dipereratkan dan kita akan sering bertukar pengalaman kedua-dua negara dengan sasaran menangani keganasan yang dikenalpasti," katanya pada sidang media selepas melihat Eksesais Malindo Darsasa 7AB/2010 di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Indonesia, Prof Dr Ir Purnomo Yusgiantoro, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima TNI, Jeneral Djoko Santoso.

Latihan kali ini yang bertemakan menangani ancaman pengganas menggabungkan pasukan khusus daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dan TNI iaitu Gerup Gerakhas, Pasukan Tentera Udara dan Pasukan Khas Tentera Laut, melibatkan 1,241 anggota ATM dan 452 anggota TNI.

Ahmad Zahid dan Purnomo terdahulu menyaksikan satu latihan menangani keganasan apabila "pengganas" ditewaskan oleh pasukan khusus ATM dan TNI dengan bantuan peralatan helikopter, bot dan kapal laut.

Eksesais Malindo Latgabma Darsasa (Malaysia-Indonesia, Latihan Gabungan Bersama - Darat, Samudera dan Angkasa) diadakan di sini dan Perairan Selat Melaka dirasmikan Panglima ATM, Jumaat lepas.

Menurut Zahid, eksesais yang bermula sejak 25 Mac lepas telah mempamerkan komitmen yang cukup tinggi oleh ATM dan TNI termasuk elemen jiwa murni oleh kedua-dua pihak yang melibatkan orang awam.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua negara akan bekerjasama sekiranya berlaku ancaman pengganas, beliau berkata: "Kita berdoa tidak berlaku keadaan itu tetapi kita bersiap siaga sekiranya keadaan berlaku," katanya.

Mengenai kekerapan latihan gabungan bersama itu yang hanya dilakukan dalam tempoh tiga tahun sehingga lima tahun sekali, Zahid berkata ia mencukupi kerana ATM dan TNI juga mengadakan latihan dengan negara-negara lain.

"Yang penting ialah untuk kita berdiskusi dengan lebih kerap dan menyusun strategi kerana "time line" yang sama digunakan untuk eksesais lain," katanya.

Sementara itu, Purnomo berkata, eksesais lain antara kedua negara juga melibatkan tentera darat yang dikenali sebagai KEKAR MALINDO, tentera laut (MALINDO JAYA) dan Tentera Udara (ELANG MALINDO).

"Latihan bersama antara tentera darat sebagai contohnya boleh dilakukan dari masa ke semasa malahan sering dilakukan," katanya.

Beliau berkata, yang penting menerusi latihan bersama tentera kedua-dua negara, ialah apabila terjadi perkara tidak diinginkan maka ATM dan TNI bersedia untuk menghadapinya.

"Kita sediakan payung sebelum hujan dan kewaspadaan kita terhadap ancaman pengganas akan terus ditingkatkan," katanya. Upacara penutup rasmi Latgabma Darsasa disempurnakan Panglima TNI hari ini dan eksesais yang sama dijangka akan diadakan di Indonesia pada 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain