suria

Mentaliti Rakyat Punca Tandas Awam Kotor: Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, sikap rakyat sendiri yang menyebabkan keadaan tandas awam di Terengganu kotor.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan telah menyediakan peruntukan khusus berjumlah ratusan ribu ringgit setiap tahun untuk menjaga tandas awam di seluruh negeri, sebaliknya langkah itu tidak mendapat kerjasama rakyat untuk sama-sama memelihara kebersihan tandas.

"Sama dengan tandas di masjid yang masih lagi kotor, sehingga lampin pakai buang bayi dan tuala wanita pun mereka sumbat dalam mangkuk tandas. "Tin minuman, puntung rokok dibaling keluar dari kereta, begitu juga rambutan, bila makan dalam kereta, biji dengan kulitnya di baling keluar ikut tingkap," katanya semasa menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ali (PAS-Sura) yang bertanyakan tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan kebersihan tandas awam di Terengganu.

Kepada soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk), Ahmad berkata, kerajaan negeri melaksanakan polisi hiburan secara adil.

"Hiburan dibenarkan tetapi dengan kaedah pengawalan yang ketat menerusi penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2002 dan Kaedah-Kaedah Hiburan dan Tempat Hiburan 2003," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yaw berkata, Terengganu bakal mempunyai rangkaian landasan keretapi sekiranya cadangan yang masih dikaji oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dipersetujui.

"Cadangan membina rel keretapi dari Kuala Lumpur ke Kelantan melalui Terengganu masih di peringkat pertama kajian oleh ECER. Kalau kajian ini berjaya, ia akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh," katanya menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam). - BERNAMA

Artikel Lain